Konjunktivitis Alergi
Anak anda kerap mengadu gatal mata dan seringkali dilihat
mengosok mata dan hidungnya dengan kuat? Selalu mempunyai mata berair dan
merah, bersin berulang-ulang kali serta mempunyai hidung yang berair? Ini
mungkin merupakan tanda-tanda anak anda mungkin mengidap konjunktivitis alergi.
Konjunktivitis alergik merupakan masalah yang agak biasa masa
kini. Ramai yang mengidapnya tidak kira usia dan jantina. Semakin ramai
kanak-kanak mempunyai masalah ini.
Punca berlakunya konjunktivitis alergi ini adalah pelbagai.
Antara faktor penyumbang adalah persekitaran (habuk, asap, pollen), makanan
tertentu, sensitiviti pada ubat-ubatan dan cuaca. Kesemua ini boleh
menyebabkan kanak-kanak yang alah mengalami mata merah dan gatal.
Bahagian mata yang
selalunya terlibat adalah kelopak mata dan konjuktiva. Konjunktiva adalah satu
lapisan membran yang menyelaputi keseluruhan mata dan bahagian dalam kelopak
mata. Inflamasi yang berlaku pada bahagian konjunktiva mata yang berpunca dari
masalah alergi dikenali sebagai konjuntivitis alergi.
Alergi berlaku apabila
sistem badan bereaksi menentang sesuatu bahan yang dikenali sebagai bendasing
dan mencuba menyingkirkannya dari sistem badan. Oleh itu reaksi alergi adalah
sangat penting dan berfungi sebagai salah satu sistem pertahanan badan. Bila
alergi pada sesuatu bahan berlaku , badan akan mengeluarkan histamine (satu
bahan kimia) sebagai satu respon terhadap reaksi alergi. Histamin ini
yang akan bertanggungjawab menyebabkan mata berair, gatal dan lain lain tanda
alergi.
Simptom alergi sangat
senang untuk dikenalpasti dan ianya boleh terjadi dari usia sekecil bayi
hinggakan orang tua. Walaubagaimanapun kanak-kanak lebih senang mendapat alergi
berbanding dengan orang dewasa.
Bahan yang menyebabkan
alergi dipanggil sebagai alergen. Alergen paling mudah ditemui dipersekitaran
kita. Kanak-kanak mudah mendapat reaksi alergi jika sentiasa terdedah pada
persekitaran berhabuk dan berdebu ataupun tangan yang memegang benda kotor dan
berbakteria boleh menjadi medium perantaraan seperti rumput, tanah, pasir,
bunga-bungaan dan sebagainya. Penyakit sistemik seperti asthma boleh
menyebabkan alergi yang agak nyata pada mata dan tandanya jelas apabila
pemeriksaan lampu slit biomikroskopi dilakukan di bahagian bawah kelopak mata.
Tanda yang jelas bagi
seseoang yang mengalami konjunktivitis alergi adalah kelopak matanya mengalami
kemerahan pada bahagian palpebral konjuntiva atas dan bawah. Palpebral
konjunktiva bagi seorang yang normal berwarna merah jambu pucat. Kelopak mata
bawah dan atas juga boleh menjadi bergerutu atau disebut sebagai papila dimana
ianya boleh digredkan mengikut darjah keterukannya. Gred 4 akan menunjukkan
papila berada di tahap serius manakala Gred 1 adalah keadaan awal berlakunya
papila. Sekiranya ianya dibiarkan dan tidak dirawat, ianya boleh menjadi
bertambah teruk dan biasanya pesakit akan berasa tidak selesa yang amat sangat.
Adalah agak biasa bagi
pengidap alergi konjuktivitis mengadu bahagian matalah yang paling gatal
terutamanya diwaktu malam. Ketika ini mata akan terasa berair, merah dan
hangat. Adakalanya ianya diikuti dengan discaj nanah, lendir yang mana boleh
menyebabkan kekaburan penglihatan.
Konjunktivitis alergi
boleh terjadi secara akut (tiba-tiba dan sementara) ataupun secara kronik
(berpanjangan)
Alergik konjunktivitis
akut biasanya terjadi mengikut musim. Ianya bersifat tiba-tiba tetapi
sementara. Tetapi ianya boleh menjadi teruk sekiranya tak dirawat. Biasanya
ianya datang bersama alergik pada bahagian hidung.
Alergik konjukivitis
kronik pula bersifat berpanjangan dan tidak bermusim. Ianya jarang berlaku
tetapi darjah keterukkannya adalah lebih tinggi dari jenis akut. Ianya
disebabkan oleh alergen yang berpunca dari pendedahan berterusan seperti habuk
dan makanan. Bagi jenis ini, inflamasi jarang berlaku namun pesakit tetap
berasa gatal dan panas dan juga sensitif pada cahaya.
Cara pengesanan
Optometrist (Pakar
penjagaaan mata) atau oftalmologis (Pakar Mata) boleh memeriksa dan membuat
diagnosis awal tentang masalah ini berdasarkan pemeriksaan fizikal dan riwayat
perubatab keluarga. Juga dari simptom yang diadukan dan tanda yang dilihat pada
pesakit. Kebiasaanya pesakit juga mengalami alergi pada bahagian lain badan
seperti kulit.
Pesakit boleh dibawa
berjumpa pakar alergi untuk mengesan substan yang menyebabkan punca alergik.
Ianya boleh dilakukan dengan menggunakan ujian kulit dan juga ujian
darsh.
Cara Rawatan
Kaedah paling baik untuk
mengurangkan atau mengurangkan dedahan terhadap alergen. Dengan menjauhi dadah
tertentu, ubat-ubatan atau makanan, konjuktivitis alergi dapat dielakkan.
Untuk mata yang sangat
gatal, ubatnya adalah dengan melakukan kompresi sejuk iaitu mengguna air sejuk
atau ais untuk ditekup dibahagian mata yang gatal. Rasa sejuk dari ais tersebut
boleh menjadikan salur darah mengecut kembali. Terdapat sesetengah ubatan atau
ubat titis yang boleh melegakan mata yang gatal buat sementara. Ada
ubatan yang mengabungkan antihistamin (anti-gatal) dan vasokonstriktor
(ubat untuk menyempitkan semula salur darah). Adakalanya penggunaan setroid
terpaksa diberikan sebagai ubat titis tambahan. Walaubagaimanapun penggunaan steroid
berpanjangan boleh meningkatkan risiko katarak dan glaukoma pada sesetengah
pesakit.
Penggunaan pembersih mata
(seperti lidcare atau teknik lid brushing) mampu melegakan rasa
gatal. Ianya selalu digabungkan dengan ubat-ubatan yang lain untuk meningkatkan
keselesaan pesakit.
Bagi melegakan mata yang
terasa hangat, titisan air mata gantian tanpa pengawet biasanya boleh digunakan
untuk melembabkan kembali keadaan okular. Paling penting anda harus memantau
anak anda supaya mereka tidak menggosok kelopak mata secara kasar akibat
kegatalan. Ini adalah kerana mata yang terlalu banyak kali digosok boleh
menyebabkan calar, edema dan luka. Sekiranya ianya berlarutan, anak anda
mungkin mempunyai risiko mengidap penyakit keratokonus pada usia 16 tahun.
Keratokonus merupakan satu keadaan di mana kornea mempunyai permukaan yang
tidak rata dimana bahagian puncaknya mungkin menjadi makin menipis akibat
sentiasa digosok. Ianya adalah kerosakan yang nyata pada kornea dan hanya
kaedah rawatan kanta sentuh keras sahaja yang dapat menolong ataupun transplan
kornea.
Teknik Lid Brushing
(Teknik ini boleh
digunapakai untuk bayi, kanak-kanak dan dewasa. Teknik ini juga boleh dijadikan
amalan bulanan)
Gunakan putik kapas yang
berkualiti dan rendamkan kedalam bancuhan shampoo bayi yang tak memedihkan mata
(1 bahagian shampoo ditambah dengan 3 bahagian air). Gosok bulu mata
seolah-olah menyikat bulu mata. Tumpukan perhatian pada bahagian akar bulu mata
(paling banyak habuk berkumpul). Gosok satu arah. Kemudian oleskan putik kapas
itu pada garisan mata atas dan bawah (bahagian yang selalu dipakai celak mata).
Ulang untuk beberapa minit. Gunakan putik kapas lain untuk mata yang satu lagi.
Dr Haliza Abdul Mutalib
Prof Madya dan Pakar Optometris
Program Optometri dan Sains Penglihatan
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
0 comments:
Post a Comment